Tuesday, December 22, 2009

Ingin Ku Petik Cintamu IV (Sequal I)


“Assalamualaikum.” Ain masih ingat salam abang yang pertama buat Ain. Salam abang tu Ain jawab dalam hati je. Iyelah, walau keras mana hati Ain, Ain masih ingat menjawab salam hukumnya wajib. Dalam kesamaran malam abang melabuhkan punggung di atas katil ‘kita’. Sungguh abang. Ain gerun masa tu. Belum pernah Ain duduk berdua sebilik dengan lelaki sebelum ini. Inilah kali pertama. Tudung kepala masih lagi kekal menutupi seluruh kepala Ain. Ain gugup. Terasa sejuk tiba-tiba.

Rasa sejuk itu menjadi ngilu. Bertambah ngilu apabila abang menyentuh hujung tudung Ain. “Jangan”. Itu sahaja yang mampu keluar dari mulut Ain. Ain bangun dan membuka tudung tu sendiri. Ain nampak abang. Abang senyum je. Ain ambil bantal dan letak jauh di hujung sudut katil. Ain tepuk bantal tu dan terus merebahkan badan. Ain membelakangi abang. Ain tahu ianya salah tapi Ain benar-benar tak boleh. Ain dengar keluhankecil keluar dari mulut abang. Tapi Ain tetap buat tak heran. Ain keraskan badan, tak mahu memandang abang. Maaf bang, Ain benar-benar minta maaf. Abang terhukum atas pada kasalahan yang bukan silap abang. Silap siapa? Ain pun tak pasti.

Pagi tu, abang bangun lebih awal daripada Ain. Abang yang kejutkan Ain. Abang ajak Ain berjemaah dengan emak dan abah. Macam anak lembu, Ain ikut je cakap abang. Iyelah, mamai baru bangun tidur. Ain solat dibelakang abang dan abah. Ain akui merdunya suara abang mengalunkan ayat-ayat suci semasa mengimami kami. Selesai solat, abang menghulurkan tangan pada Ain. Ain tak pasti nak sambut ke tidak salam tu, tapi cuitan emak bagaikan kejutan elektrik dan Ain terus mencium tangan abang.

Begitulah hari-hari seterusnya abang. Ain terus solat di belakang abang walaupun setelah kita berpindah ke Kuala Lumpur. Ke rumah abang atau boleh Ain sebut sebagai rumah ‘kita’. Kita hidup sebumbung, makan semeja, tidur sebilik malah sekatil tapi boleh dikira komunikasi kita dalam sehari. Ain nampak usaha abang untuk berbual-bual dengan Ain. Tapi sungguh. Sungguh Ain tidak tertarik dengan itu semua. Ain masih teringat Ikmal. Buah hati Ain yang Ain terpaksa tinggalkan demi memuaskan hati emak dan abah untuk berkahwin dengan abang.

Akhirnya, Ain mendapat tawaran kerja sebagai pegawai pemasan di sebuah syarikat. Gembiranya Ain. Tak adalah Ain menganggur lagi lepas ni. Masa tu kan abang, Ain tak tahu nak bagi tahu abang macam mana. Ain bukan pernah minta apa-apa, mengadu apa-apa wal hal cerita apa-apa pun tak pernah. Abang je yang selalu buat semua tu pada Ain. Ain tahu abang nak ambil hati Ain. Akhirnya Ain buat keputusan untuk letak surat tawaran tu dekat tepi telefon. Harap-harap abang nampak.

Nampaknya rancangan Ain menepati sasaran. Abang tanya, “Bila kena mula kerja?”. Soalan abang tu rupanya berangkai-rangkai. Banyak pula abang tanya Ain. Ain pun tanya-tanya abang juga. Yelah Ain ni bukan pernah ada pengalaman kerja, walaupun excited dengan kerja ni, tapi Ain tetap rasa cuak juga.

Esoknya abang hantar Ain pergi kerja. Kebetulan tempat kerja kita tak jauh jaraknya. Sebelum keluar kereta, abang pesan, “Jaga diri baik-baik. Kalau ada apa-apa masalah, telefon abang.” Rasa macam adik kecil pula masa tu. Ain angguk je dengar apa yang abang pesan.

Ain seronok. Seronok sangat dapat bekerja. Walaupun penat tapi Ain puas. Tak adalah Ain duduk di rumah je tunggu abang balik. Kalau Ikmal mungkin berbeza. Mungkin Ain akan sabar je menunggu dia balik. Tapi orang yang Ain tunggu tu Amin. Bukan Ikmal. Langsung tak bersemangat. Kadang-kadang Ain sengaja masak tak sedap, tertawar lah, termasinlah, tapi abang tetap makan dengan berseleranya. Ain terfikir, entah-entah deria rasa kat lidah abang ni dah rosak kot.

Sekarang bila Ain dah kerja, Ain tengok abang pun berubah sama. Abang selalu tolong Ain dekat dapur, tolong Ain kemas rumah, lipat kain, siram bunga. Satu hari Ain tanya, “Kenapa abang nak tolong Ain buat semua ni, ni semua kerja Ain.” Abang kata, “Kesian dekat Ain penat sorang-sorang. Biar kita penat sama-sama.” Kadang-kadang Ain terharu tengok abang buat semua tu. Tapi saja Ain tak nak tunjuk. Ain jadi bersyukur kerana Ain bekerja sekarang. Tak adalah Ain jadi macam dulu asyik menangis bila teringatkan Ikmal. Ikmal pun dah lama tak menghubungi Ain. Dah dekat 2 bulan. Mungkin Mal dah jumpa dengan jalan untuk kehidupannya yang baru. Semoga Mal bahagia. Kini Ain belajar perlahan-lahan untuk menjadi seorang yang redha…. Mungkin inilah antara simpang yang Allah tunjukkan untuk kita, Mal.

Ada satu hari tu, hujan turun lebat sangat. Ain tunggu abang dekat depan office. Tapi abang tak sampai-sampai. Ain call abang, tapi abang tak angkat. Semua officemate Ain dah balik. Hari pun dah nak dekat maghrib. Ain pun naik je bas. Tak sangka pula bas tu berhenti jauh daripada rumah kita. Ain pun berlari meredah hujan yang lebat tu. Bila Ain balik Ain tengok ada kereta abang dengan parking rumah kita. Hish, geramnya Ain. Sampai betul hati abang biar Ain balik naik bas dengan hujan yang lebat macam ni. Habis Ain kutuk-kutuk abang dalam hati. Bila Ain masuk rumah, Ain tengok abang tengah tidur. Lagilah Ain bengang.

Saja je Ain hempas beg kuat-kuat atas meja dekat tempat abang baring. Tapi abang langsung tak terkutik. Pelik juga Ain. Ain duduk dekat dengan abang. Terasa ada bahang. Ain beranikan diri Ain letak tangan Ain yang sejuk tu atas kepala abang. First time ni tau. Panasnya….. abang demam ni. Cepat-cepat Ain buka tali leher yang masih belum abang buka. Ain pun ambil tuala basah dan tuam kepala abang. Ain nampak abang bergerak-gerak sikit. Tapi abang tak buka mata pun. Ain risau bang. Rasa bersalah pulak mengutuk-ngutuk abang tadi. Ain terus tuam kepala abang.

Kepala Ain ni pun tak bagi kerjasama langsung. Sakit. Berdenyut-denyut. Akhirnya dek kerana kepala yang berdenyut-denyut dan penat yang terlampau Ain tak sedar Ain tertidur dengan baju basah yang tak bertukar tu.

Esoknya bila Ain sedar, Ain dah dekat bilik atas. Bilik kita. Atas katil. Siapa yang angkat Ain kalau bukan abang. Ain jadi malu sendiri. Kepala Ain masih lagi sakit. Ain raba atas kepala ada tuala basah. Ain demam la…. Tiba-tiba, “Oops….” Ain terkejut bila tengok baju Ain yang dah bertukar? Abang ke yang tukar?? Ya Allah malunya…… Ain tengok je abang masuk bilik kita. Mesti muka Ain dah merah masa tu.

“Kenapa Ain tidur dengan baju basah semalam? Kan dah demam”. Abang cakap dengan Ain sambil meniup-niup bubur nasi. Ain diam je, dalam hati cakap ‘Dia yang tak ambil orang balik kerja semalam. Orang penat tau…’… tapi ayat lain pulak yang keluar daaripada mulut Ain, “Demam abang dah baik ke?”. Abang pandang Ain. “Hurm”. Hurm je yang abang jawab, ni yang Ain tak puas hati ni. Ain pegang dahi abang. Mak oi….panasnya lagi..

“Abang okeylah. Abang kuat, bukan macam Ain. Ni demam sikit je”. Eleh. Kuat konon. Tak sedar semalam dia terlantar macam apa je kat sofa tu. Kuatlah sangat tu. Ain kutuk abang lagi. Abang suapkan Ain bubur. Baiknya abang. tapi kesian sebenarnya dekat abang. Abangkan demam, kenapalah abang tak pergi berehat je waktu tu, Ain ni boleh makan sendiri lah. Abang pula boleh buat ‘dek’ je. Abang dengan rela hatinya picit kepala Ain. Terharu tau Ain bang. Sampai macam tu sekali abang layan Ain. Kenapalah Ain tak boleh nak hargai abang? Air mata Ain menitis. Dan jari-jemari abang yang kasar tu segera menyekanya. Terima kasih bang. Itu je yang boleh Ain cakap…itu pun dalam hati je.

Bila Ain terjaga dari tidur, Ain tengok abang pun dan terlelap sama. Bila Ain bangun, abang pun bangun. Hari tu, kita berlawan bersin. Rasa kelakar pun ada. Akhirnya abang kata, “Kita sama-sama demam ni, so kenalah bergilir. Ain jaga abang, abang jaga Ain.” Macam buat pertama kali Ain senyum untuk idea-idea abang. Abang pun senyum bahagia je Ain nampak. Dalam hati Ain, ‘Mungkinkah ini tanda untuk sinar hidup kita di hari-hari esok?’

Semenjak hari tu, Ain dapat rasa ada satu perasaan halus menyelinap dalam hati Ain. Bila pergi kerja, Ain tak sabar nak balik jumpa abang. Bila tidur Ain tak sabar nak tengok abang bangun esok paginya. Bila masak, Ain tak sabar nak makan semeja dengan abang. Semuanya jadi dalam diri Ain? Adakah ini yang dinamakan cinta? Betulke bang? Bagilah tahu Ain. tapi Ain tahu abang takkan beritahu Ain sebab abang pun entah tahu entah tidak dengan perasaan Ain ni. Walaupun Ain selalu nampak kesungguhan abang menarik perhatian Ain, tapi entah-entah abang dah bosan nak menunggu Ain. Manalah Ain tahu.

Suatu hari Kak Lisa datang melawat kita. Kak Lisa, kakak abang yang sulung. Dia datang bawa Alia. Alia anak Kak Lisa yang baru berusia setahun lebih asyik abang dukung ke sana ke mari. Seronok benar Ain tengok abang waktu tu. Abang cium dia, peluk dia, agah dia, macam…macam….anak abang sendiri. Ain sedar mungkin abang sangat teringin punya anak sendiri kan?

Sebenarnya kan abang, Ain pun teringin nak anak sendiri juga. Tapi Ain malu nak cakap dekat abang. Macam mana ye? Tiba-tiba Kak Lisa tanya, “Ain tak teringin nak anak sendiri?” Isk Kak Lisa ni, ada pulak tak teringin, mestilah Ain nak…. “Siapa yang tak teringin nak ada anak, kak. Kami belum ada rezeki lagi”. Abang back up Ain masa tu. Bila Ain pandang abang, abang bagi senyuman yang penuh makna sekali untuk Ain. “Ain rasa untuk yang sulung, Ain nak anak lelaki ke perempuan nanti? Kak lisa dulu teringin nak anak perempuan, hari-hari berdoa, akhirnya dapatlah si Alia ni.” Ain hanya boleh senyum je, “Kalau boleh lelaki, bolehlah dia jaga Ain nanti”. Alamak. Ain nampak abang pandang Ain tajam. Ain salah cakap ke? Alamak. Abang sengih-sengih je Ain tengok. Geram pulak Ain tengok abang masa tu.

Abang, kalaulah abang tahu…Ain dah mula cintakan abang. Kalau abang izinkan, Ain juga ingin memetik cinta di hati abang….