Friday, November 13, 2009

Ingin Ku Petik Cintamu III

“Sepupu abah dari Kedah datang semalam meminang untuk Ain, abah dan emak dah pun setuju.” Berderau darah Ain masa dapat panggilan daripada abah hari tu. Masakan emak dan abah boleh terima je pinangan macam tu tanpa tanya Ain dulu. Dimanakah hak Ain? Atau Ain memang tiada hak dalam hal ni. Mungkin betul. Dulu ustaz pernah kata, ayah dan datuk adalah wali mujbir. Maksudnya mereka boleh mengahwinkan anak gadis mereka tanpa meminta persetujuan gadis tersebut asalkan dengan niat yang baik. Tapi inikah yang terbaik untuk Ain?


Ikmal, Ain minta maaf. Bukan niat Ain untuk menduakan cinta Mal. Tak sedikit pun pernah terlintas di hati Ain. Kita sama-sama menganyam angan-angan untuk bersatu dalam ikatan suami isteri. Tapi apakan daya semua ini bukan dalam perancangan kita… ini rancangan emak dan abah Ain. Dan mungkin juga perancangan Allah. Ain sendiri belum pasti apa yang harus Ain lakukan sekarang ni. Apakah Ain patut menderhakai keputusan emak dan abah demi menyelamatkan cinta kita ini?


Mungkin salah Ain. Ain yang tidak berterus-terang dengan emak dan abah tentang hubungan kita. Tapi Mal sendiri maklum kan tentang amaran abah, “Jangan bercinta waktu belajar”. Abah garang. Ain takut dengan setiap amaran daripada abah. Kalau abah kata abah akan buat, pasti abah akan benar-benar akan buat. Samalah dalam hal ni, Mal. Ain rasa Ain ingin lari dari semua ni. Lari selaju dan sejauh mungkin walaupun Ain tahu dengan ‘lari’ masalah ini tak akan selesai juga. Tapi selain daripada lari, Ain dah tak tahu macam mana lagi nak buat untuk menyelamatkan cinta kita ni.


Tapi, betapa mulianya hati Mal. Mal nasihatkan Ain. Mal ajar Ain tentang redha. Walaupun Ain dengar suara Mal menangis dari hujung talian sana. Dalam sedu-sedan tu, Mal masih rasional. Bukan macam Ain. Ain pun pelik kenapa Ain boleh berfikir sampai ke situ. Padahal selama ni Ain sedaya upaya menjaga perilaku seperti yang diamanahkan oleh emak dan abah. Ain sentiasa ingin menjadi anak yang terbaik untuk mereka, insan yang melahirkan dan mendidik Ain untuk menjadi yang terbaik.


Tapi macam mana dengan Mal? Adakah Mal benar-benar ikhlas melepaskan Ain? Mal yakin dengan keputusan yang Mal ambil ni? Ain belum yakin, Mal. Benar-benar tak yakin. Ain tak yakin yang Ain boleh hidup dengan insan yang Ain tak kenal, yang Ain tak cinta. Ain tak yakin, Mal. Ain perlu Mal. Ain cinta Mal seorang saja. Kalaulah Mal tahu betapa hati Ain menjerit, meronta-ronta untuk lepas dari sengsara ni. Dahsyat Mal. Lebih dahsyat daripada tangisan hebat yang Mal dengan dekat telefon tadi. Lebih dahsyat daripada rebut tsunami. Lebih dahsyat daripada gunung berapi yang memuntahkan lavanya. Dahsyat. Membuak-buak. Ain tak ada siapa untuk meluahkan apa yang Ain rasa. Kalaulah Mal ada di sisi…..


Mal tahu tak? Semua persiapan untuk majlis perkahwinan Ain ni emak dan Kak Long yang uruskan. Ain sikit pun tak ambil kisah. Emak membebel dan memarahi Ain tapi dalam hati Ain kata, ‘Siapa suruh nak kahwinkan sangat Ain dengan Amin anak Pak Lang Uteh tu? Ain nak kahwin dengan Ikmal!’. Tapi Ain tak berani nak cakap dengan mak. Pengecut kan Ain? Kak Long je yang tahu tentang cerita kita, Mal. Kak Long je yang faham sebab dulu pun dia alami benda yang sama. Bercinta dengan orang lain akhirnya berkahwin dengan orang lain. Tapi Kak Long yakinkan Ain yang Ain akan bahagia juga nanti akhirnya. Tapi Mal, Ain tetap tak yakin. Ain tak tahu Mal, Ain tak kenal dia, Ain tak cinta dia!! Ain cinta Mal.


Ain tak pernah tengok muka dia dan tak pernah teringin pun nak tengok muka dia. Banyak kali Kak Long datang bilik Ain nak tunjuk gambar Amin, tapi Ain tak teringin pun. Ain simpan je gambar dia dalam envelope tu dan sorok dalam laci. Memang Ain tak sudi Mal. Ain lebih rela menatap gambar-gambar Mal dalam laptop Ain. Hari-hari Ain tengok. Waktu pagi, waktu tengahari, waktu petang, waktu malam, sampai tertidur-tidur. Semua ni kerana Ain cintakan Mal seorang, tiada dua, tiada tiga.


Walaupun hari-hari Kak Long mengumpan Ain dengan cerita-cerita pasal Amin, tapi hati Ain ni sikit pun tak terusik. Ain lebih berminat nak ingat Mal. Ain cuma berminat nak baca semula sms dan email yang pernah Mal beri pada Ain dulu. Cuma yang Ain ingat Kak Long kata Amin juga tinggal di kolej yang sama masa kita di universiti dulu. Entah, manalah Ain nak perasan dan tak pernah rasa rugi pun tak perasan dia dulu.


Mal, Ain tak tahu kenapa Ain jadi macam ni. Ain rasa sendiri dengan perubahan sikap Ain. Ain tiba-tiba jadi tak kuat macam dulu. Bila teringat Mal, Ain menangis. Ain rasa bersalah sangat dengan Mal sebab akan kahwin dengan Amin walaupun semua tu bukan atas kerelaan hati Ain. Ain nak sangat Mal tahu yang Ain cintakan Mal dan Ain tak rela atas semua ni. Tapi mujur Ain selalu teringat pesan Mal. Mal suruh Ain redha. Berat Mal, memang berat untuk Ain lunaskannya.


Lusa hari pernikahan Ain dengan Amin. Semua persiapan dah tersusun indah dalam bilik Ain ni. Semua ni bukan Ain yang buat. Ain menangis lagi tengok baju, hantaran, tempat nikah…semuanya…. Ain sedih sangat Mal. Kalaulah pengantin lelaki tu nanti tiba-tiba bertukar jadi Mal, alangkah bertuahnya Ain. Mesti Ain akan rasa macam cerita fairy tale, tapi ini dunia realiti Mal. Ain tau semua tu mustahil. Amin tetap Amin, Mal tetap Mal dan Mal tetap di hati Ain.


Malam sebelum nikah, abah datang dekat Ain. Abah usap kepala Ain. Abah tinggalkan amanat, “Esok, Ain akan abah pertanggungjawabkan kepada Amin. Jadilah isteri yang solehah..” . Air mata abah jatuh. Pertama kali Ain tengok abah macam tu. Ain terharu tapi bila teringat dekat Mal, perasaan Ain jadi bercampur-baur. Amin tu baik ke tak orangnya? Kenapa abah menangis? Atau abah rasa bersalah sebab tersalah pilih calon suami untuk Ain? Atau mungkin abah benar-benar sedih ingin melepaskan tanggungjawabnya ke atas Ain? Serius, Ainlah orang yang paling tak pasti sekarang ni.


Selepas akad, itulah kali pertama Ain tengok muka Amin. Biasa je orangnya Mal, Mal jauh lebih kacak dari dia. Waktu dia hulurkan tangannya itulah kali bertama Ain menyentuh lelaki lain selain abah. Kenapa tangan tu bukan milik Mal? Kenapa? Ain minta maaf, Mal. Ain terpaksa. Ain terpaksa sentuh tangan lelaki lain selain daripada Mal. Sebab dia dah sah jadi suami Ain, Mal. Suami …walaupun bukan kerelaan Ain.


Di majlis persandingan Ain, Ain berharap sangat Mal datang. Ain nak sangat tengok muka Mal. Ain nak tengok muka orang yang selalu bagi Ain semangat. Sebab sesungguhnya Ain tengah sangat tak bersemangat. Kalau bukan kerana menjaga air muka keluarga, Ain tak tahulah apa yang Ain akan buat sekejap lagi. Ain tunggu. Ain tunggu Mal datang. Setiap orang yang masuk ke ruang pelamin ni Ain amati. Ain nak pastikan Mal ada atau tidak. Ain tunggu, Mal. Tapi…sampai petang bayang Mal langsung Ain tak nampak. Kenapa Mal tak datang? Ain menangis lagi Mal. Mungkinkah Mal telah redha dengan perpisahan ini? Atau Mal sendiri tak sanggup melihat Ain? Kenapa Mal? Ain menantikan jawapan.


Sekarang, Ain dan sah menjadi isteri kepada Amin, bukan isteri Mal seperti yang kita angan-angankan dulu. Mungkin Mal telah merelakan Ain memegang status ini kan? Tapi, Ain belum bersedia. Belum Mal. Ingatan Ain masih kuat untuk Mal. Sayang Ain masih utuh untuk Mal. Cinta Ain masih teguh untuk Mal. Tak mungkin Ain dapat menghapuskan semua tu dan menggantikannya untuk insan lain. Insan yang tak pernah Ain tahu dirinya, hatinya….


Mal, tolonglah Ain. Ain tak tahu macam mana nak mengharungi hidup di hari-hari mendatang dengan suami yang bukannya Mal. Bagaimana Mal? Ain tak pernah bersedia untuk ini. Tak pernah sekali pun. Adakah Ain tewas? Tiupkanlah Ain kekuatan Mal.


Benih cinta yang kita semai dulu, tak sempat kita petik, Mal.

hak cipta terpelihara :

Ainul Anique

Thursday, November 12, 2009

Ingin Ku Petik Cintamu II


“Assalamualaikum. Saya Ikmal. Boleh kita berkenalan?” Ikmal masih ingat Ain. Itulah ayat pertama yang Mal tuturkan buat Ain. Salam perkenalan yang di sambut dengan senyuman Ain yang menawan hati Mal. Kerana senyuman itulah Ikmal terpesona lalu meggerakkan kaki ini melangkah mendekati Ain. Inilah kali pertama Mal buat macam ni. Semuanya demi seorang gadis yang benar-benar telah menceroboh hati Mal.


Ikmal bersyukur, bermula dengan salam perkenalan tu, kita akhirnya menjadi seorang kekasih. Semua orang tahu. Semua orang di kolej ni tahu bahawa memang Ainlah satu-satunya buah hati Mal. Tiada yang lain. Dengan kehadiran Ain di sisi Mal dunia terasa ceria setiap hari, matahari hari-hari tersenyum je buat Mal. Mal bahagia. Bahagia kerana dapat mendampingi orang seperti Ain.


Bagi Mal, Ain memang seorang gadis yang layak dihormati. Kadang-kadang memang Mal terasa segan juga sebab Mal rasa seolah-olah Mal tak layak untuk gadis sebaik Ain. Tapi Ain yakinkan Mal bahawa kebaikan dalam diri seseorang boleh dipupuk dan keburukan dalam diri juga boleh di hapuskan. Banyak peringatan yang Ain beri pada Mal. Kadang-kadang Mal bergurau dengan memanggil Ain ustazah. Ain hanya senyum. Dan senyuman tu selalu buat hati Mal cair.


Tiga tahun, Ain. Tiga tahun kita menyulam kasih. Alhamdulillah selepas tamat belajar, Mal terus dilamar oleh syarikat perbankan sedang Ain masih meneruskan pengajian di tahun akhir. Kita merancang Ain, selepas tamat sahaja Ain belajar, Mal akan terus meminang Ain. Duit gaji Mal pun telah Mal mula asingkan untuk belanja perkahwinan kita. Memang Mal tak sabar nak menanti saat bahagia kita nanti. Tanpa pengetahuan Ain, Mal pun dah beli sebuah rumah tau. Rumah yang akan menjadi tempat Mal, Ain dan anak-anak kita nanti untuk menyulam bahagia bersama. Tapi Mal taknak bagitahu Ain dulu. Nanti tak surprise pula.


Tapi Ain, suatu hari Mal pelik masa dapat penggilan telefon daripada Ain. Ain menangis. Bila Mal tanya kenapa? Ain menangis lagi. Kenapa sebenarnya yan berlaku. Hati Mal benar-benar tertanya-tanya. Bengang Mal, siapalah yang berani mengapa-apakan buah hati Mal ni sampi menangis macam ni? Bila Ain dah reda sikit, Ain pun mula bersuara dan Mal pun dengar je.


Mal terkejut Ain. Betul-betul terkejut dengan apa yang Ain cakap. “Keluarga Ain dan menerima pinangan Amin”. Itulah ayat pertama yang keluar dari mulut Ain lepas tangisan Ain reda. Ternganga Mal tau. Mal tau ini bukan gurauan. Ini pasti kenyataan. Tapi Mal betul tak faham kenapa benda berlaku ke atas kita. Ain menangis lagi. Mal pun menangis. Ain kata Ain nak lari. Ain tak sanggup berkahwin dengan orang yang Ain tak kenal dan Ain tak cinta. Dalam hati Mal masa tu memang Mal sokong je apa yang Ain nak buat tu.


Tapi bila Mal buka mulut, lain pulak yang Mal cakap. Mal suruh Ain bersabar, dan terima semua ni sebagai dugaan Allah. Mungkin inilah jalan yang terbaik yang telah Allah lorongkan untuk kita. Mal cakap dengan linangan airmata yang deras tau Ain. Memang Mal dah tak malu lagi nak menangis waktu tu. Lagipun Mal bukan ‘Superman’ yang tak boleh nangis. Mal manusia normal yang ada hati dan perasaan. Tak apalah, Mal pernah terbaca “Kalau kita sayangkan seseorang, bebaskan dia terbang….”. Mal bebaskan Ain. Semoga Ain bahagia bersama Amin.


Masa hari persandingan Ain hari tu, Mal tak dating. Sengaja Mal tak dating sebenarnya. Manalah Mal sanggup nak tengok orang yang Mal puja selama ni bersanding dengan lelaki lain. Memang Mal tak sanggup. Tapi Anuar bestfriend Mal masa di kolej dulu dating. Dia kata dia kenal Amin tu. Rupanya dia duduk satu kolej dengan kita jugalah Ain. Mesti Ain pun tak tahu kan? Tak banyak yang Anuar sampaikan sebab mungkin dia faham tentang apa yang hati Mal rasa sakarang ni.


Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan. Mal sentiasa berusaha keras melupakan Ain. Tapi Mal selalu gagal Ain. Kalau siang Mal akan sibukkan diri dengan kerja untuk lupakan Ain, tapi nanti malam mesti Mal akan termimpi-mimpikan Ain. Kadang-kadang setiap lepas solat, Mal berdoa dan merintih kepada Allah. Kenapa Dia menguji Mal yang tak sekuat mana ni dengan dugaan yang macam ni? Tapi Mal teringat pada pesan Mal sendiri pada Ain dulu…kita kena redha…Tapi adakah Mal sendiri redha???


Hati Mal makin parah bila Mal dapat kunci rumah yang Mal angan-angankan untuk kita tinggal bersama. Setiap langkah Mal menjelajahi rumah tu, Mal mesti terbayang muka Ain. Kenapa? Kenapa Mal masih tak dapat melupakan Ain? Kenapa? Tolonglah Mal, Ain. Mal memang masih dan terlalu menyintai Ain. Walaupun Ain sekarang isteri Amin, tapi Mal memang tak dapat lupakan Ain. Tolong Ain. Tolong beritahu Mal macamana caranya untuk Mal melupakan Ain, melupakan kenangan cinta kita, melupakan segalanya……Mal parah Ain.


Akhirnya setelah lima bulan Ain menjadi isteri Amin dan Mal masih begini, Ain. Mal nekad. Mal akan hubungi Ain. Biarlah apa yang akan jadi pun. Sebabnya Mal pun tahu yang Ain tak bahagia hidup dengan orang yang Ain tak cinta. Ain yang cakap dulu kan? “Ain tak mungkin bahagia hidup dengan orang yang Ain tak cinta”. Jangan bimbang Ain, sekarang Mal akan datang dan akan membawa kebahagiaan buat Ain.


Akhirnya Ain, selepas berjaya menembusi rangkaian telefon Ain hari tu, Mal cuba lagi..hari-hari Mal call. Mal tak kisah dah, janji Mal dapat luahkan apa yang Mal rasa sekarang ni. Mal rindu Ain. Rindu sangat. Kadang-kadang Mal dengar Ain menangis di hujung talian sana. Bila Mal tanya kenapa? Ain kata “Mal, binalah kekuatan baru untuk kehidupan yang baru”. Tapi Mal tak puas hati dengan ayat-ayat Ain tu. Mal ajak Ain jumpa dan hati Mal berbunga-bunga bila Ain setuju nak jumpa Mal.


Dalam pertemuan tu, Mal nampak Ain dah macam lain sikit. Ain nampak tembam tapi muka Ain tetap nampak berseri-seri. Tapi Ain macam tak banyak cakap dah sekarang. Kenapa Ain? Amin ke yang jadikan Ain sampai Ain jadi macam ni? Mesti Ain tak bahagia hidup bersama Amin.


Mal pandang mata Ain. Ain tunduk je. Ain kata Ain tak boleh lama. Kita bertanya khabar dan Mal pun memulakan bicara. Mal kata “Ain, Mal cintakan Ain. Mal tak boleh lupakan Ain. Tolonglah Ain. Kembalilah pada Mal.” Tiba-tiba Mal tengok Ain nangis. Mal rasa bersalah pulak. Ain geleng kepala tiba-tiba. “Kita tak boleh Mal”. Itu yang keluar dari mulut Ain. “Kita tak boleh!” Tegasnya Ain cakap ayat tu. Runtuh hati Mal. Kenapa tak boleh Ain? Kenapa?


Entah setan apa yang merasuk Mal, Mal terus tarik tangan Ain. Mal tahu Ain terkejut sebab Mal dapat rasa Ain cuba tarik tangan Ain dengan bersungguh-sungguh masa tu. Tapi Mal tak peduli, Mal pegang lagi kuat-kuat. Biar Ain tak boleh tarik. Biar Ain tahu betapa kuat cinta Mal dan betapa bersungguhnya Mal kali ni. “Ain, kembalilah bersama Mal”. Mal takkan berhenti merayu tahu tak Ain. Tak kan. Sampai Ain betul-betul kembali pada Mal.


“Mal tak redha?” Soalan Ain itu merenggangkan genggaman tangan Mal. Mal menekup muka. Tiba-tiba rasa malu dengan apa yang telah Mal buat pada Ain waktu tu. Perempuan yang Mal muliakan dulu koni telah Mal malukan dengan memegang tangannya. Tangan isteri Amin. “Mal minta maaf.” Bersungguh Mal memohon maaf dari Ain dari hari tu. Kalaulah Ain tahu betapa Mal menyesal.


“Mal, cinta kita adalah sejarah lalu. Binalah hidup baru Mal. Ain bahagia sekarang dengan suami Ain, Amin. Ain….Ain dah mula cintakan dia”. Mal ingat lagi ayat tu Ain cakap. Ayat itulah yang membuatkan Mal pasrah. Mal sedar. Ain dah mula mengecap bahagian dalam hidup Ain. Kehadiran Mal sekali lagi mungkin akan merosakkan kebahagiaan yang kian Ain kecapi bersama Amin. Mal dengki. Dengki sangat dengan Amin. Beruntung betul dia kerana dapat memiliki cinta sejati dari isteri sebaik Ain. Tak apalah Ain, mungkin inilah masanya hati dan jiwa Mal betul-betul melepaskan Ain pergi. Pergilah Ain mengecap bahagia yang Ain impikan. Mal akan bangkit semula dengan hidup baru. Doakan Mal, Ain.


Lama…lama kita tak jumpa kan Ain. Ain tahu tak, tiba-tiba 3 minggu lepas, Mal terserempak dengan Amin dekat hospital. Masa tu Mal hantar emak Mal buat medical check-up. Entah kenapa tiba-tiba Amin tumbuk Mal, Ain. Terkejut Mal. Dalam hati Mal kata, ‘Apahal pulak mamat ni tiba-tiba nak tumbuk aku? Gila kea pa?’ Sakit tau, Ain. Nasib baik Mal rasional lagi waktu tu. Mal ajak dia bincang sekejap.nasib baik dia nak.


Isk..Isk..memang tak patut…. Sampai hati Amin tuduh Ain macam tu? Tapi Ain jangan risau, Mal dah terangkan semuanya dari A sampai Z dekat Amin. Mal sebenarnya salah juga dalam hal ni. Kalau Mal tak datang semula pada Ain dulu, semua ni mungkin tak kan terjadi. Mal minta maaf Ain. Apalah Mal ni, kata je sayang Ain, tapi sebab sayan tu, Ain pula yang terpaksa tanggung derita.


Ain, bangunlah Ain. Kesian Mal tengok Amin hari-hari menangis sebelah Ain. Baby Ain pun teringin juga nak rasa pelukan dari mamanya. Bangunlah Ain, semua orang tunggu Ain buka mata. Mal pun tunggu Ain buka mata. Mal nak Ain datang majlis perkahwinan Mal bulan depan. Mal benar-benar nak Ain ada. Ain yang selalu jadi penghidup semangat Mal.


Bangun ye Ain….Mal sayang Ain walaupun cinta Ain tak sempat Mal petik…


hak cipta terpelihara :

ainulanique

Ingin Ku Petik Cintamu I


“Aku terima nikahnya, Nurul Ain binti Abdullah dengan mas kahwinnya RM80 tunai..” Itu lafaz keramat yang yang abang ucapkan lebih 3 bulan yang lalu. Lafaz tu jugalah yang telah menyatukan kita sebagai suami isteri hingga hari ini. Abang gembira sangat keluarga Ain menerima pinangan abang. betul-betul abang gembira. Tapi abang tau hati Ain dingin. Tak sehangat kegembiraan dan kebahagiaan yang abang rasa waktu tu.


Abang akui mungkin Ain terpaksa menikahi abang hanya kerana ummi dan abah. Lebih daripada itu, Ain hanya menyintai lelaki yang bernama Ikmal itu. Abang bukan tak kenal dengan Ikmal tu, kami satu kolej masa di university dulu cuma kami tak rapat. Kenal gitu-gitu je. Tapi orangnya memang hebat. Hamper seluruh kolej kenal dengannya. Patutlah Ain pun tak dapat lupakan dia. Sampai hari ni pun abang rasa Ain belum dapat lupakan dia.


Buktinya, setelah berbulan kita tinggal sebumbung, tidur sekatil, makan semeja…dan berkongsi banyak ‘benda’ tapi Ain tetap sama… dingin… kita bercakap, tapi bukan macam pasangan lain, kita tonton tv bersama, bila nak pergi kerja Ain cium tangan abang dan abang pun tetap akan mencium dahi Ain walaupun abang sangsi entah Ain suka atau tidak.


Tapi Ain, malam itu entah kenapa abang pun pelik tengok Ain. Ain manja sangat. Waktu tengok tv abang perasan, Ain sengaja melentokkan kepala pada bahu abang. Abang biar je, Ain. Masa tu abang rasa bahagia sangat tapi abang tak naklah tunjuk sangat depan Ain. Beberapa kali abang tengok Ain menguap. Kesian pulak abang tengok Ain.


“Abang tak nak tidur ke?” Ain tanya abang. Abang tengok jam baru pukul 9.30. Slot Majalah 3 pun baru je start setengah jam. Ain tiba-tiba bangun dan tutup tv. Ain terus masuk bilik. Abang senyum je Ain tau masa tu.


Malam tu selepas lebih 3 bulan kita bergelar suami isteri, inilah pertama kali abang melunaskan nafkah batin untuk Ain. Abang bahagia Ain. Tapi abang tak tahu nak cakap macam mana dengan Ain. Akhirnya malam tu berlalu.


Sebelum azan subuh esoknya kita sama-sama terjaga. Abang pandang mata Ain dan Ain pun pandang mata Ain. Pertama kali dalam dalam hidup abang, abang dapat kucup dahi Ain waktu Ain jaga macam ni. Segala rasa syukur abang abang panjantkan kepada Illahi dalam doa selepas solat subuh pagi tu. Akhirnya kita dapat juga hidup bahagia sebagai suami isteri, Ain.


Suatu hari minggu abang tengok Ain macam tengah bercakap dengan seseorang guna handphone. Abang tengok je Ain dari tingkap bilik kita. Tapi Ain tak perasan kot. Abang pelik juga. Kenapa Ain macam menangis? Lepas tu kenapa nak bercakap dekat luar rumah pula? Dalam rumah kita tak ada coverage ke? Abang cek line telefon abang. Ada je. Lama juga Ain bercakap kat telefon, bila Ain masuk je abang tanya “kenapa?” Ain jawab “Tak ada apa-apa” Lepas tu Ain terus masuk bilik air. Banyak kali juga abang tanya Ain lepas-lepas tu tapi Ain tetap jawab “Tak ada apa-apa”. Lepas tu abang pun diamkan je.


Suatu hari, abang keluar minum petang dengan client. Masa nak balik tu kebetulan abang nampak orang yang amat abang kenal. Abang nampak Ain dengan…dengan lelaki. Dan lelaki tu ialah Ikmal. Abang nampak dengan jelas Ikmal pegang tangan Ain. Ain biar je. Tak tarik langsung. Ain menangis. Apa sebenarnya yang terjadi. Hati abang macam mendidih dah waktu tu. Rasa nak je abang terus pergi kat meja yang Ain dan Ikmal duduk dan tarik tangan Ain. Tapi sebab ramai orang abang sabarkan dulu. Hal rumahtangga biar selesaikan di rumah.


Malam tu, Ain balik lewat. Ain minta maaf dekat abang, Ain kata Ain balik rumah emak sekejap. Entah betul entah tidak abang dah mula was-was. Masa Ain mandi abang dah masuk tidur. Rasa tak sanggup nak pandang muka Ain waktu. Abang dah mula mengira-ngira apa yang nak abang cakap dengan Ain. Abang nak tunggu esok sebab esok hari Sabtu. Abang nak tanya Ain betul-betul.


Tengah malam tu abang terjaga daripada tidur dan abang nampak Ain tengah bercakap melalui telefon dekat balkoni bilik kita. Ain tak tidur ke malam tadi? Apa yang Ain buat? Dengan siapa Ain bercakap. Abang cuba pasanag telinga. Dalam bersusah-payang pasang telinga tu, abang hanya dapat tangkap beberapa perkataan… “Ikmal…..mengandung…anak..” Ya Allah apa semua ni? Abang sangsi, Ain.


Pagi esoknya tiba-tiba abang rasa tak ada hati langsung nak pandang muka Ain. apatah lagi nak bercakap dengan Ain. Lepas sarapan abang terus duduk dekat halaman baca surat khabar. Tiba-tiba Ain datang dekat abang. Masa tu abang cakap dalam hati ‘Pergilah sana…’ Abang tak tahu kenapa, abang betul tak nak tengok muka Ain. Kita berdua diam. Akhirnya Ain yang buka mulut dulu. Ain kata “Abang…Ain mengandung”. Ain bercakap sambil tersenyum-senyum. Lepas tu abang tak tahu setan apa yang merasuk abang..abang cakap “Anak aku ke, anak Ikmal?” Lepas tu abang terus berlalu meninggalkan Ain yang terkulat-kulat keliru.


Semenjak kejadian tu, sengaja sibukkan diri. Abang memang sengaja buat macam tu. Abang malas nak balik rumah, malas jugak nak tengok muka Ain dan perut Ain yang besar tu. Abang menyampah. Sesekali bila Ain sms suruh abang temankan pergi klinik, memang abang sengaja tak balas sms tu. Buat apa abang nak berbakti pada janin yang entah benih siapa?


Lama…lama kita macam tu. Dari perut Ain kecil sampailah besar. Tapi, ada abang heran? Suatu hari abang dapat memo dari pihak atasan. Abang kena pergi Langkawi 2 minggu. Abang senyum je tengok memo tu, sebab abang suka abang tak payah sakit hati tengok muka Ain dengan perut Ain yang besar tu. Abang Cuma lekatkan memo abang pergi Langkawi tu dekat pintu peti ais. Ain nak tengok ke tak nak ke, itu Ain punya pasal.


Balik daripada Langkawi, abang terkejut tengok rumah. Tak macam selalu. Bukanlah nak kata bersepah, tapi tak sekemas selalu. Nasib Ain lah kena maki dengan abang. Iyelah, Ain perempuan tak kan tak reti nak kemas rumah. Lepas marah-marah tu abang terus naik bilik dan tidur.


Abang hanya bangun lepas dengar bunyi siren ambulans yang kuat. Bila abang turun abang tengok ada darah dekat tangga dan beberapa kawasan lain. Abang cuak. Abang cari Ain tapi Ain tak ada. Tapi ada nota dekat sebelah telefon. Ada sedikit palitan darah dekat nota tu, abang rasa itu dari Ain.


‘Abang, Ain dan anak kita minta ampun

kalau kami berdosa pada abang.

Doakan Ain selamat

– isteri yang menyintaimu, Nurul Ain.


Abang terduduk dekat tangga. ‘Anak kita?’ Ain pastikah itu anak kita. Macam-macam perasaan datang sekarang ni. Tanpa fikir panjang abang terus memecut kereta ke hospital mencari Ain.


Ain, kenapa Ain tak sedar-sedar lagi? Dah masuk tiga minggu Ain macam ni. Abang teringin nak cakap dengan Ain betapa comelnya anak kita yang abang beri nama Muhammad Faiz, lambang kejayaan Ain mengharungi keperitan mengandungkannya seorang diri…betapa abang menyesal….. abang dah tahu segala-galanya dari mulut Ikmal sendiri. Dia datang semalam untuk melawat Ain. Ain sayang…bangunlah.


Maafkanlah abang sayang….Berilah abang peluang untuk memetik cintamu sekali lagi....


hak cipta terpelihara :

Ainul Anique