Friday, November 13, 2009

Ingin Ku Petik Cintamu III

“Sepupu abah dari Kedah datang semalam meminang untuk Ain, abah dan emak dah pun setuju.” Berderau darah Ain masa dapat panggilan daripada abah hari tu. Masakan emak dan abah boleh terima je pinangan macam tu tanpa tanya Ain dulu. Dimanakah hak Ain? Atau Ain memang tiada hak dalam hal ni. Mungkin betul. Dulu ustaz pernah kata, ayah dan datuk adalah wali mujbir. Maksudnya mereka boleh mengahwinkan anak gadis mereka tanpa meminta persetujuan gadis tersebut asalkan dengan niat yang baik. Tapi inikah yang terbaik untuk Ain?


Ikmal, Ain minta maaf. Bukan niat Ain untuk menduakan cinta Mal. Tak sedikit pun pernah terlintas di hati Ain. Kita sama-sama menganyam angan-angan untuk bersatu dalam ikatan suami isteri. Tapi apakan daya semua ini bukan dalam perancangan kita… ini rancangan emak dan abah Ain. Dan mungkin juga perancangan Allah. Ain sendiri belum pasti apa yang harus Ain lakukan sekarang ni. Apakah Ain patut menderhakai keputusan emak dan abah demi menyelamatkan cinta kita ini?


Mungkin salah Ain. Ain yang tidak berterus-terang dengan emak dan abah tentang hubungan kita. Tapi Mal sendiri maklum kan tentang amaran abah, “Jangan bercinta waktu belajar”. Abah garang. Ain takut dengan setiap amaran daripada abah. Kalau abah kata abah akan buat, pasti abah akan benar-benar akan buat. Samalah dalam hal ni, Mal. Ain rasa Ain ingin lari dari semua ni. Lari selaju dan sejauh mungkin walaupun Ain tahu dengan ‘lari’ masalah ini tak akan selesai juga. Tapi selain daripada lari, Ain dah tak tahu macam mana lagi nak buat untuk menyelamatkan cinta kita ni.


Tapi, betapa mulianya hati Mal. Mal nasihatkan Ain. Mal ajar Ain tentang redha. Walaupun Ain dengar suara Mal menangis dari hujung talian sana. Dalam sedu-sedan tu, Mal masih rasional. Bukan macam Ain. Ain pun pelik kenapa Ain boleh berfikir sampai ke situ. Padahal selama ni Ain sedaya upaya menjaga perilaku seperti yang diamanahkan oleh emak dan abah. Ain sentiasa ingin menjadi anak yang terbaik untuk mereka, insan yang melahirkan dan mendidik Ain untuk menjadi yang terbaik.


Tapi macam mana dengan Mal? Adakah Mal benar-benar ikhlas melepaskan Ain? Mal yakin dengan keputusan yang Mal ambil ni? Ain belum yakin, Mal. Benar-benar tak yakin. Ain tak yakin yang Ain boleh hidup dengan insan yang Ain tak kenal, yang Ain tak cinta. Ain tak yakin, Mal. Ain perlu Mal. Ain cinta Mal seorang saja. Kalaulah Mal tahu betapa hati Ain menjerit, meronta-ronta untuk lepas dari sengsara ni. Dahsyat Mal. Lebih dahsyat daripada tangisan hebat yang Mal dengan dekat telefon tadi. Lebih dahsyat daripada rebut tsunami. Lebih dahsyat daripada gunung berapi yang memuntahkan lavanya. Dahsyat. Membuak-buak. Ain tak ada siapa untuk meluahkan apa yang Ain rasa. Kalaulah Mal ada di sisi…..


Mal tahu tak? Semua persiapan untuk majlis perkahwinan Ain ni emak dan Kak Long yang uruskan. Ain sikit pun tak ambil kisah. Emak membebel dan memarahi Ain tapi dalam hati Ain kata, ‘Siapa suruh nak kahwinkan sangat Ain dengan Amin anak Pak Lang Uteh tu? Ain nak kahwin dengan Ikmal!’. Tapi Ain tak berani nak cakap dengan mak. Pengecut kan Ain? Kak Long je yang tahu tentang cerita kita, Mal. Kak Long je yang faham sebab dulu pun dia alami benda yang sama. Bercinta dengan orang lain akhirnya berkahwin dengan orang lain. Tapi Kak Long yakinkan Ain yang Ain akan bahagia juga nanti akhirnya. Tapi Mal, Ain tetap tak yakin. Ain tak tahu Mal, Ain tak kenal dia, Ain tak cinta dia!! Ain cinta Mal.


Ain tak pernah tengok muka dia dan tak pernah teringin pun nak tengok muka dia. Banyak kali Kak Long datang bilik Ain nak tunjuk gambar Amin, tapi Ain tak teringin pun. Ain simpan je gambar dia dalam envelope tu dan sorok dalam laci. Memang Ain tak sudi Mal. Ain lebih rela menatap gambar-gambar Mal dalam laptop Ain. Hari-hari Ain tengok. Waktu pagi, waktu tengahari, waktu petang, waktu malam, sampai tertidur-tidur. Semua ni kerana Ain cintakan Mal seorang, tiada dua, tiada tiga.


Walaupun hari-hari Kak Long mengumpan Ain dengan cerita-cerita pasal Amin, tapi hati Ain ni sikit pun tak terusik. Ain lebih berminat nak ingat Mal. Ain cuma berminat nak baca semula sms dan email yang pernah Mal beri pada Ain dulu. Cuma yang Ain ingat Kak Long kata Amin juga tinggal di kolej yang sama masa kita di universiti dulu. Entah, manalah Ain nak perasan dan tak pernah rasa rugi pun tak perasan dia dulu.


Mal, Ain tak tahu kenapa Ain jadi macam ni. Ain rasa sendiri dengan perubahan sikap Ain. Ain tiba-tiba jadi tak kuat macam dulu. Bila teringat Mal, Ain menangis. Ain rasa bersalah sangat dengan Mal sebab akan kahwin dengan Amin walaupun semua tu bukan atas kerelaan hati Ain. Ain nak sangat Mal tahu yang Ain cintakan Mal dan Ain tak rela atas semua ni. Tapi mujur Ain selalu teringat pesan Mal. Mal suruh Ain redha. Berat Mal, memang berat untuk Ain lunaskannya.


Lusa hari pernikahan Ain dengan Amin. Semua persiapan dah tersusun indah dalam bilik Ain ni. Semua ni bukan Ain yang buat. Ain menangis lagi tengok baju, hantaran, tempat nikah…semuanya…. Ain sedih sangat Mal. Kalaulah pengantin lelaki tu nanti tiba-tiba bertukar jadi Mal, alangkah bertuahnya Ain. Mesti Ain akan rasa macam cerita fairy tale, tapi ini dunia realiti Mal. Ain tau semua tu mustahil. Amin tetap Amin, Mal tetap Mal dan Mal tetap di hati Ain.


Malam sebelum nikah, abah datang dekat Ain. Abah usap kepala Ain. Abah tinggalkan amanat, “Esok, Ain akan abah pertanggungjawabkan kepada Amin. Jadilah isteri yang solehah..” . Air mata abah jatuh. Pertama kali Ain tengok abah macam tu. Ain terharu tapi bila teringat dekat Mal, perasaan Ain jadi bercampur-baur. Amin tu baik ke tak orangnya? Kenapa abah menangis? Atau abah rasa bersalah sebab tersalah pilih calon suami untuk Ain? Atau mungkin abah benar-benar sedih ingin melepaskan tanggungjawabnya ke atas Ain? Serius, Ainlah orang yang paling tak pasti sekarang ni.


Selepas akad, itulah kali pertama Ain tengok muka Amin. Biasa je orangnya Mal, Mal jauh lebih kacak dari dia. Waktu dia hulurkan tangannya itulah kali bertama Ain menyentuh lelaki lain selain abah. Kenapa tangan tu bukan milik Mal? Kenapa? Ain minta maaf, Mal. Ain terpaksa. Ain terpaksa sentuh tangan lelaki lain selain daripada Mal. Sebab dia dah sah jadi suami Ain, Mal. Suami …walaupun bukan kerelaan Ain.


Di majlis persandingan Ain, Ain berharap sangat Mal datang. Ain nak sangat tengok muka Mal. Ain nak tengok muka orang yang selalu bagi Ain semangat. Sebab sesungguhnya Ain tengah sangat tak bersemangat. Kalau bukan kerana menjaga air muka keluarga, Ain tak tahulah apa yang Ain akan buat sekejap lagi. Ain tunggu. Ain tunggu Mal datang. Setiap orang yang masuk ke ruang pelamin ni Ain amati. Ain nak pastikan Mal ada atau tidak. Ain tunggu, Mal. Tapi…sampai petang bayang Mal langsung Ain tak nampak. Kenapa Mal tak datang? Ain menangis lagi Mal. Mungkinkah Mal telah redha dengan perpisahan ini? Atau Mal sendiri tak sanggup melihat Ain? Kenapa Mal? Ain menantikan jawapan.


Sekarang, Ain dan sah menjadi isteri kepada Amin, bukan isteri Mal seperti yang kita angan-angankan dulu. Mungkin Mal telah merelakan Ain memegang status ini kan? Tapi, Ain belum bersedia. Belum Mal. Ingatan Ain masih kuat untuk Mal. Sayang Ain masih utuh untuk Mal. Cinta Ain masih teguh untuk Mal. Tak mungkin Ain dapat menghapuskan semua tu dan menggantikannya untuk insan lain. Insan yang tak pernah Ain tahu dirinya, hatinya….


Mal, tolonglah Ain. Ain tak tahu macam mana nak mengharungi hidup di hari-hari mendatang dengan suami yang bukannya Mal. Bagaimana Mal? Ain tak pernah bersedia untuk ini. Tak pernah sekali pun. Adakah Ain tewas? Tiupkanlah Ain kekuatan Mal.


Benih cinta yang kita semai dulu, tak sempat kita petik, Mal.

hak cipta terpelihara :

Ainul Anique

No comments: